Wednesday, April 29, 2009

Lemahnya Iman kite...

salam...sahabt2ku sayang..

Menghadapi Kelemahan Iman


Haruslah kita sedar dan faham bahawasanya manusia seperti kita ini
mengalami iman yang tidak tetap. Adakalanya iman kita meninggi hinggakan
kita memperolehi kedamaian jiwa, amalan kita dirasakan manis, dada kita
lapang - alangkah bahagianya di kala itu.


Di saat yang lain pula dada kita terasa sempit, malas untuk melakukan
amal ketaatan, fikiran menjadi kusut, tiada ketenteraman, jiwa gelisah
serta kecenderungan untuk melakukan maksiat bertambah.


Di saat itu berhati-hatilah. Penuhilah masamu dengan tafakkur dan
melakukan amalan taqwa. Fikirkanlah apa yang menyebabkan anda menjadi
demikian.

Adakah anda telah meninggalkan perintah Allah? Adakah anda
melakukan maksiat? Atau adakah anda tidak redha dengan ketentuan Allah
kepadamu?


Di saat sebegini bawalah hatimu mengunjungi salah satu dari tiga tempat:


1. Ke tempat orang membaca Al-Quran, anda membacanya, atau anda dengar
baik-baik orang membacanya;


2. Atau anda pergi ke majlis pengajaran yang mengingatkan hati kepada
Allah;


3. Ataupun anda mencari tempat yang sunyi, di sana anda berkhalwat
menyembah Allah, umpamanya di tengah malam buta, di saat orang tidur
nyenyak, anda bangun mengerjakan sembahyang malam, meminta dan memohon
kepada Allah agar diberikanmu kedamaian jiwa.


Di samping itu hendaklah anda mencari tempat dan suasana yang boleh
menyuburkan iman kerana kesan-kesan luar yang berunsurkan Islam amat
penting bagi melahirkan keperibadian muslim. Jangan sekali-kali mencari
suasana yang boleh merangsang perasaan yang ingin melakukan maksiat.
Pergaulilah orang-orang yang soleh yang menyeru kepada Islam kerana
kasihkan mereka juga adalah satu cara untuk mendekatkan diri kepada
Allah.


JANGAN biarkan saat kelemahan imanmu itu berlarutan kerana dibimbangi
anda akan semakin jauh daripada Allah, semakin jauh daripada
keredhaanNya dan semakin jauh dari kecintaanNya. Ingat dan fikirkanlah
mati yang bakal menjemputmu bila-bila masa sahaja. Syukurilah setiap
nikmat yang diberikan Allah kepadamu,


perbanyakkan istighfarmu dan paksalah dirimu agar terus melakukan amal
taat kepadaNya. Awasilah lidahmu kerana di saat sebegini syaitan akan
mempergunakan lidahmu untuk memperkatakan sesuatu yang sia-sia lagi
berdosa. Sibukkanlah diri untuk membaca Al-Quran atau zikrullah yang
lain.

No comments:

Post a Comment